Sepertimana dengan bahagian-bahagian lain dalam Persekutuan Pengakap Malaysia, bahagian Pengakap Kelana juga mempunyai tujuan-tujuannya tersendiri di mana ia dilakukan mengikut pandangan seorang dewasa.
Tujuan-tujuan adalah seperti berikut:
1) Membentuk warganegara yang taat kepada Negara.
Malaysia adalah sebuah negara yang berbilang kaum dan agama yang diketuai oleh seorang Yang Dipertuan Agong. Yang Dipertuan Agong merupakan simbol kedaulatan undang-undang negara. Pengakap Kelana adalah diingatkan supaya mempertahankan undang-undang dan dasar-dasar negara untuk memastikan keamanan dan kestabilan negara.
2) Meninggikan Persaudaraan antara Pengakap-Pengakap Sedunia.
Pengakap Kelana adalah ahli Pergerakan Pengakap Sedunia yang telah ditubuhkan untuk memastikan ahli-ahlinya menjadi warganegara dunia yang berguna dan berkebolehan. Semua Pengakap Kelana adalah sahabat dan saudara antara satu sama lain. Setakat ini, lebih daripada 250 juta orang di seluruh dunia pernah menjadi Pengakap.
3) Persaudaraan Aktiviti-aktiviti Luar
Pengakap ditubuhkan untuk menggalakkan belia-belia melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti luar seperti berkhemah, mengembara dan lain-lain. Aktiviti-aktiviti tersebut melatih seseorang itu menjadi seorang yang berpengalaman dan boleh bergantung kepada dirinya sendiri dan seterusnya membantu orang lain. Sistem Latihan Pengakap Kelana menggalakkan semua ahlinya melatih diri sendiri dalam kemahiran luar.
4) Perkhidmatan Masyarakat
Dalam pembentukan warganegara yang berguna, Pengakap Kelana itu diwajibkan berkhidmat kepada masyarakatnya dengan tujuan untuk keamanan dan kedamaian masyarakat.
5) Fikiran Progresif Antara Belia
Sebagai sebuah negara yang sedang membangun, Malaysia memandang ke arah golongan belianya untuk menjadi pemimpin-pemimpin masa depan. Dengan melibatkan diri dalam hal ehwal masyarakat, seorang Pengakap Kelana diharap dapat memainkan peranan yang penting dalam pembangunan negara. Ini dapat dilaksanakan dengan pelbagai cara seperti melanjutkan pelajaran, melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti yang tiada kaitan unsur politik, ataupun berkhidmat kepada masyarakat.
6) Berdikari
Undang-undang Pengakap yang kesebelas yang dicatatkan, iaitu “Seorang Pengakap itu bukannya bodoh”. A Scout is not a fool. Dalam latihan Pengakap Kelana, seseorang itu diwajibkan memperoleh tabiat-tabiat berdikari dan dipastikan supaya menjalankan tugas-tugasnya dengan seberapa daya upaya yang boleh.
7) Perlindungan Alam Semula jadi
Dengan pembangunan yang pesat, kita kehilangan sebahagian daripada alam semula jadi kita. Alam semula jadi adalah tempat di mana aktiviti-aktiviti berpengakap dijalankan. Dengan kesedaran ini, Pengakap Kelana diharapkan memainkan peranannya untuk melindungi alam semula jadinya dengan sebaik mungkin.
Friday, January 22, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment